
Pelajar dari kawasan Sentosa telah mencatatkan kejayaan membanggakan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. Seramai 55 pelajar berjaya memperoleh keputusan cemerlang, sekali gus menunjukkan peningkatan prestasi akademik yang memberangsangkan.
Dalam satu majlis yang diadakan sempena pencapaian tersebut, Yang Berhormat Gunaraj menegaskan bahawa pelajar perlu memberi keutamaan kepada pendidikan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) bagi menjamin masa depan yang lebih cerah.
Beliau berkata,
“Pelajar tidak seharusnya bergantung kepada pembelajaran akademik semata-mata, sebaliknya perlu mengembangkan pelbagai kemahiran. Selain itu, pengetahuan dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) juga amat penting dalam dunia masa kini,” katanya.
Beliau turut memuji pencapaian pelajar Sentosa yang menunjukkan peningkatan ketara dalam keputusan SPM tahun ini, dan menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil usaha gigih pelajar serta dedikasi para guru.
Pencapaian ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pendidikan dan kerjaya pada masa hadapan.
