
Kira-kira 100 penternak kupang dan nelayan di Kampung Kuala Juru, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang kini berdepan kebimbangan susulan pencemaran serius yang semakin meningkat di Sungai Juru, menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Pencemaran itu dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa kilang dan sisa kolam udang ke sungai berkenaan.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, keadaan itu telah menyebabkan kupang dan ikan yang diternak di Sungai Juru terjejas teruk sehingga pendapatan nelayan merosot lebih 50 peratus.
Hasil kajian yang dijalankan CAP mendapati air Sungai Juru sentiasa kelihatan keruh dan dipercayai tercemar akibat pelepasan sisa daripada kilang berhampiran, saliran longkang serta paip pembuangan sisa kolam udang.
Menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Juru, Wahid Othman, salah satu punca utama pencemaran dipercayai berpunca daripada pintu pelepasan sisa kilang di Sungai Terhaka yang bersambung dengan Sungai Juru.
Beliau berkata, pintu pelepasan tersebut sebelum ini telah lama ditutup, namun masalah pencemaran mula menjadi semakin serius selepas ia dibuka semula kira-kira setahun lalu.
Tambah beliau, sisa bahan kimia dipercayai sering dibuang ke sungai pada waktu pagi sehingga menyebabkan air sungai bertukar hitam dan mengeluarkan bau busuk.
Nelayan tempatan turut mendakwa menemui banyak kupang dan ikan mati terapung di permukaan air sejak kebelakangan ini.



