
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa pilihan raya umum awal boleh diadakan sekiranya Pakatan Harapan terus berdepan perpecahan dalaman.
Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama kepimpinan gabungan dalam masa terdekat.
“Saya akan berbincang bukan sahaja di negeri ini, malah bersama kepimpinan Pakatan Harapan. Jika hubungan kita terus berpecah seperti ini, pilihan raya umum di peringkat nasional mungkin akan diadakan,” katanya.
Menurut Anwar, walaupun keputusan mengenai tarikh pilihan raya berada di tangan Perdana Menteri, keputusan tersebut perlu dibuat secara bersama oleh semua pihak dalam gabungan.
“Kita perlu membuat keputusan secara bersama dan mendengar pandangan rakan-rakan dalam gabungan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan di Johor Bahru seperti dilaporkan media tempatan.



