
Seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun cedera selepas dipercayai dipukul secara beramai-ramai oleh lima pelajar lain dalam satu kejadian yang berlaku di Kota Kinabalu minggu lalu.
Bagaimanapun, kejadian tersebut hanya terbongkar selepas video yang memaparkan mangsa dipukul menjadi tular di media sosial semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada jam 7.51 pagi, 23 Mei lalu.
Menurut siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8 pagi pada 22 Mei.
Beliau berkata, mangsa juga dipercayai telah diugut supaya tidak memaklumkan kejadian tersebut kepada ahli keluarga atau pihak polis.
“Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai dipukul oleh lima pelajar perempuan,” katanya.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada kedua-dua bahu dan kaki, selain kecederaan pada telinga kiri serta luka kecil pada lutut kiri.
Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti semua pihak yang terlibat dalam insiden tersebut.



