
Program ‘Clean & Green Gathering’ yang diadakan bersempena sambutan Hari Bapa telah berlangsung dengan jayanya di Sentosa Ria di bawah pimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, YB Dr Gunaraj.
Program yang bertujuan memupuk semangat kebersihan, kelestarian alam sekitar dan perpaduan komuniti itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat serta pelbagai pihak yang terlibat dalam menjayakannya.
Dalam ucapannya, Dr Gunaraj merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada para penduduk, agensi kerajaan serta Ahli Majlis N48B yang telah berganding bahu memastikan kejayaan program tersebut. Beliau berkata semangat kerjasama dan sukarelawan yang ditunjukkan mampu membantu mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, hijau dan selesa untuk semua.
“Kerjasama yang ditunjukkan hari ini bukan sahaja membantu menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar, malah mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat. Inilah semangat komuniti yang perlu terus diperkasakan,” katanya.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua bapa yang hadir dalam program tersebut. Menurutnya, jasa dan pengorbanan para bapa amat besar dalam membentuk keluarga yang harmoni serta masyarakat yang lebih maju dan sejahtera.



