
Kegiatan satu sindiket yang membeli minyak masak paket bersubsidi sebelum membotolkannya semula dan menjualnya pada harga lebih tinggi sebagai ‘minyak sembahyang’ berjaya dibongkar di Kuala Lumpur.
Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Mohamad Shahran Mohamad Arshad, berkata tiga kes yang saling berkaitan dikesan menerusi empat serbuan di bawah Ops Tiris 4.0.
Dalam operasi tersebut, kira-kira sembilan tan minyak masak bernilai hampir RM165,000 telah dirampas.
Serbuan melibatkan empat premis di sekitar Sentul dan Chow Kit, termasuk dua premis pemborong berlesen serta dua premis yang tidak mempunyai lesen.
Menurut siasatan, modus operandi sindiket berkenaan adalah membeli minyak masak bersubsidi dalam paket satu kilogram daripada pemborong, sebelum paket tersebut dipotong dan minyak berkenaan dibotolkan semula.
Minyak itu kemudiannya dibungkus dalam pelbagai saiz antara satu, dua, lima hingga 15 kilogram sebelum dipasarkan di sekitar Lembah Klang sebagai ‘minyak sembahyang’.
Sebahagian minyak berkenaan dipercayai dijual tanpa sebarang bahan tambahan, manakala sebahagian lagi dicampurkan dengan sejumlah kecil bahan lain sebelum dipasarkan.
Sindiket terbabit dipercayai membeli minyak masak bersubsidi pada harga kira-kira RM2.45 seliter sebelum menjualnya semula sebagai ‘minyak sembahyang’ pada harga sekitar RM7.50 seliter, kata Mohamad Shahran.
Siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap pihak yang terlibat bagi membendung penyalahgunaan dan penyelewengan barangan bersubsidi.



