
Semua pegawai dan kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memberikan sokongan dan kerjasama penuh kepada ketua pesuruhjaya baharu, kata Tan Sri Azam Baki.
Azam, yang secara rasmi menamatkan tugasnya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 12 Mei, berkata sokongan terhadap kepimpinan baharu amat penting bagi memastikan organisasi itu terus kukuh dan relevan.
“Kesetiaan dan kerjasama kepada kepimpinan baharu sangat penting demi kestabilan organisasi.
“Jika pegawai tidak bekerjasama dengan kepimpinan baharu, mereka sebenarnya mensabotaj organisasi itu sendiri.
“Dalam mana-mana organisasi, kita perlu sentiasa setia kepada kepimpinan,” katanya ketika berucap dalam majlis perpisahan khas di ibu pejabat SPRM.
Mengimbas kembali perkhidmatannya, Azam berkata semua pegawai perlu terus berkhidmat kepada rakyat dan negara tanpa mengira siapa yang memimpin organisasi tersebut.
“Kita kekal sebagai pegawai yang berkhidmat untuk rakyat dan negara,” katanya.



