
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan bahawa 29 rakyat Malaysia yang sebelum ini ditahan oleh Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 kini selamat tiba di Istanbul, Turkiye.
Menurut beliau, kesemua rakyat Malaysia itu ditahan pihak Israel ketika berada di perairan antarabangsa semasa menyertai misi bantuan kemanusiaan berkenaan.
“Mereka semua selamat tiba di Istanbul pada jam 5.45 petang waktu tempatan semalam,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Beliau turut memaklumkan bahawa semua peserta berada dalam keadaan baik, namun enam individu termasuk lima lelaki mengalami kecederaan dan memerlukan pemeriksaan perubatan lanjut.
Kerajaan Malaysia dilaporkan terus memantau perkembangan berkaitan insiden tersebut serta memastikan kebajikan semua peserta terbela.



