
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa bekalan bahan api di Malaysia masih berada pada tahap mencukupi meskipun dunia kini berdepan kebimbangan berhubung krisis tenaga akibat perang Iran.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan bahawa kerajaan sedang mengambil langkah untuk memastikan bekalan tenaga yang pada masa ini mencukupi sehingga Julai dapat dilanjutkan sehingga Disember.
Menurut beliau, usaha mendapatkan tambahan bekalan bahan api dari luar negara sedang dipergiatkan.
Syarikat minyak nasional Petronas juga dilaporkan sedang mengadakan rundingan dengan beberapa negara termasuk di Afrika bagi mendapatkan bekalan tambahan yang diperlukan.
Pada 15 April lalu, Petronas turut mengesahkan bahawa bekalan bahan api di stesen minyak kendaliannya dijangka kekal stabil sehingga penghujung Jun.
Petronas kini membekalkan kira-kira 50 peratus daripada keperluan bahan api negara, manakala selebihnya disediakan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia.
Kerajaan menegaskan bahawa walaupun ketegangan global semakin meningkat, bekalan bahan api negara masih terkawal dan mencukupi untuk kegunaan rakyat.



