
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George menegaskan bahawa syarikat pemaju perlu memikul tanggungjawab menyediakan tapak gantian bagi kuil-kuil Hindu yang terletak di kawasan bekas estet. Menurut beliau, isu kuil-kuil bekas estet yang telah wujud sejak puluhan malah ratusan tahun tetapi masih tidak mempunyai status tanah yang jelas perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.
Beliau berkata perkara itu turut dibangkitkan dalam perbahasan Dewan Undangan Negeri Selangor kerana ia melibatkan warisan, sejarah dan keperluan agama masyarakat setempat. Menurutnya, banyak kuil Hindu di negara ini dibina di kawasan estet dengan kebenaran dan sokongan pemilik ladang pada ketika itu bagi memenuhi keperluan keagamaan pekerja ladang dan keluarga mereka. Kuil-kuil tersebut kemudiannya menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat serta memainkan peranan penting dalam memelihara budaya dan tradisi masyarakat India.
Namun, apabila tanah-tanah estet dijual kepada pemilik baharu untuk pembangunan perumahan, bandar baharu atau projek komersial, banyak kuil sedia ada tidak diberikan penyelesaian yang sewajarnya. Ada kuil yang terus berada di lokasi asal tanpa status tanah yang sah, manakala ada yang berdepan risiko dipindahkan tanpa tapak gantian yang sesuai. Akibat kegagalan mencari penyelesaian sejak awal, banyak kuil warisan kini dikategorikan sebagai kuil tidak berdaftar atau kuil haram walaupun telah berkhidmat kepada masyarakat sejak beberapa generasi.
Sehubungan itu, Dr Gunaraj menegaskan bahawa setiap projek pembangunan yang melibatkan bekas tanah estet yang mempunyai rumah ibadat perlu mengambil kira keperluan penempatan semula sebelum projek dilaksanakan. Beliau turut menggesa agar setiap syarikat pemaju yang mengambil alih tanah estet menyediakan dan mewartakan tanah gantian yang sesuai untuk tujuan pemindahan kuil. Menurutnya, pemberian tanah sahaja tidak mencukupi tanpa penyelesaian status pemilikan yang sah. Langkah pewartaan perlu dilaksanakan segera bagi memberikan jaminan dan kepastian kepada masyarakat setempat serta memastikan warisan rumah ibadat yang dibina oleh generasi pekerja ladang tidak terpinggir dalam arus pembangunan moden.



