
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, YB Dr Gunaraj, telah mengadakan lawatan tapak dan sesi perbincangan di Taman Millennium bagi meneliti cadangan menaik taraf sistem perparitan serta pembinaan dry pond (kolam tadahan) sebagai penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan tersebut.
Sesi tersebut turut dihadiri oleh wakil Persatuan Penduduk Taman Millennium, Ahli Majlis Thangaraj, Ahli Majlis Roy Nyaneswaran serta Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Tuan Zaidi. Perbincangan memberi tumpuan kepada keperluan teknikal dan pandangan penduduk sebelum projek dilaksanakan.
Menurut Dr Gunaraj, kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, wakil rakyat dan komuniti setempat amat penting bagi memastikan penyelesaian yang mampan, berkesan dan mampu mengurangkan masalah banjir yang sering dihadapi penduduk. Beliau berkata, usaha itu juga bertujuan meningkatkan kecekapan sistem saliran demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir dan memberikan komitmen dalam mencari penyelesaian terbaik untuk penduduk Taman Millennium. Dr Gunaraj berharap projek berkenaan dapat direalisasikan secepat mungkin demi manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat.



