
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menduduki tempat pertama dalam tinjauan nasional terbaharu yang dijalankan oleh Merdeka Center mengenai prestasi pemimpin-pemimpin politik utama negara apabila memperoleh kadar sokongan sebanyak 52 peratus.
Kajian yang dijalankan dari 12 Mac hingga 9 April melibatkan 1,209 responden di seluruh negara itu menilai tahap kepuasan rakyat terhadap tujuh tokoh politik utama Malaysia. Anwar muncul sebagai pemimpin yang menerima penilaian paling positif dalam kajian tersebut.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berada di tempat kedua dengan 50 peratus sokongan. Bekas Perdana Menteri merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memperoleh 36 peratus, diikuti bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dengan 32 peratus. Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menerima 25 peratus sokongan, manakala Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berada di kedudukan terakhir dengan 24 peratus sokongan. Seramai 61 peratus responden turut menyatakan mereka tidak berpuas hati dengan prestasi Ahmad Zahid.
Dalam perkembangan sama, walaupun berdepan cabaran ekonomi global, 47 peratus rakyat percaya Malaysia berada di landasan yang betul. Namun begitu, 73 peratus responden berpendapat isu kos sara hidup dan tekanan ekonomi masih merupakan cabaran paling utama yang dihadapi rakyat ketika ini, menurut laporan Merdeka Center.



