
Lebih 700,000 individu telah dikenal pasti layak menerima manfaat di bawah program BUDI Diesel, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, program itu terus mencatat perkembangan positif apabila lebih 80,000 penerima telah menggunakan kemudahan tersebut sepanjang tempoh akses awal yang bermula pada 27 Jun.
Menurutnya, sambutan menggalakkan itu membuktikan penerimaan rakyat terhadap pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar.
Beliau berkata demikian ketika pelancaran serentak Operasi Pemantauan BUDI Diesel di seluruh negara, yang bertujuan memastikan pelaksanaan penuh program berjalan lancar sejak hari pertama.
Amir Hamzah memaklumkan bahawa pelaksanaan program di Semenanjung Malaysia setakat ini berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah besar.
“Sejak akses awal dibuka pada 27 Jun, lebih 80,000 orang telah memanfaatkan program BUDI Diesel dan pelaksanaannya berjalan dengan lancar,” katanya.



