
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi bayangan bahawa satu pengumuman penting mengenai biasiswa untuk pelajar Tingkatan Enam (STPM) akan dibuat ketika pembentangan Belanjawan 2027.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi menghormati peruntukan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).
Menurut Anwar, cadangan berkaitan bantuan kepada pelajar STPM itu telah dibangkitkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dalam mesyuarat Kabinet yang lalu.
“Saya tidak boleh berkongsi lebih lanjut di Johor kerana ia boleh melanggar peraturan pilihan raya. Namun perkara ini memang telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini,” katanya.
Ketika ditanya sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan biasiswa untuk pelajar STPM, Anwar berkata rakyat hanya perlu menunggu pembentangan Belanjawan 2027.
“Tunggu Belanjawan 2027. Saya akan umumkan satu berita baik,” katanya.



