
Siasatan berhubung dakwaan penyelewengan yang didedahkan menerusi laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji dan FELDA bukan didorong oleh motif dendam politik, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kerajaan tidak akan campur tangan dalam proses siasatan mahupun keputusan untuk mendakwa kerana perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa agensi penyiasatan dan Peguam Negara.
Menurut Anwar, keputusan sama ada sesuatu kes perlu disiasat terletak pada agensi penyiasatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sementara itu, keputusan sama ada pendakwaan perlu dilakukan atau sebaliknya merupakan tanggungjawab Peguam Negara, manakala hukuman pula ditentukan oleh mahkamah.
“Siapa yang menentukan sama ada siasatan perlu dijalankan? Polis dan SPRM. Siapa yang menentukan sama ada hendak mendakwa atau tidak? Peguam Negara. Siapa yang menentukan hukuman? Hakim, bukan Perdana Menteri,” tegas beliau.
Justeru, Anwar menegaskan bahawa siasatan berkaitan Tabung Haji dan FELDA tidak seharusnya dianggap sebagai tindakan balas dendam politik, sebaliknya perlu dilihat sebagai proses undang-undang yang dilaksanakan oleh institusi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.



