
Kerajaan MADANI hari ini memutuskan untuk memperluas perlindungan subsidi tarif elektrik daripada 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800 kWj sebulan bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup ketika ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah tersebut akan berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik dari September sehingga 31 Disember 2026.
Menurut beliau, keputusan itu merupakan langkah segera kerajaan bagi menangani tekanan yang sedang dihadapi rakyat dalam kehidupan seharian.
Melalui langkah berkenaan, pengguna elektrik domestik yang menggunakan sehingga 800 kWj sebulan akan diberikan perlindungan daripada pelarasan kos bahan api secara automatik, caj runcit serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook petang ini.
Terdahulu, Anwar mempengerusikan mesyuarat berkaitan tarif elektrik di pejabatnya yang turut dihadiri wakil Suruhanjaya Tenaga, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Langkah tersebut diambil sebagai usaha kerajaan memberikan kelegaan segera kepada pengguna domestik berikutan tekanan kos kehidupan yang sedang dihadapi rakyat.



