
Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka semakin hampir apabila Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberikan petunjuk dengan merujuk kepada tempoh satu lagi hari Jumaat.
Menurut beliau, perkara berhubung pembubaran DUN Melaka kini bukan lagi satu rahsia, sebaliknya hanya menunggu masa yang sesuai sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan.
“Ramai tertanya-tanya bila DUN Melaka akan dibubarkan. Ini bukan lagi satu rahsia, ia hanya menunggu masa yang sesuai.”
Beliau berkata, pada ketika ini beliau sendiri tidak mengetahui tarikh tepat pembubaran DUN, namun sebelum ini telah memberikan petunjuk dengan menyebut tempoh Jumaat ke Jumaat.
“Saya tidak tahu bila masanya. Saya memberikan petunjuk dari Jumaat ke Jumaat kerana dalam tempoh itu masih banyak perkara yang perlu kita selesaikan bagi mentadbir negeri Melaka.” katanya.
Ketika ditanya seorang wartawan sama ada Jumaat berikutnya yang dimaksudkan, Ab Rauf secara berseloroh berkata tempoh tersebut mungkin menjadi petunjuk seterusnya.
Perkembangan itu menambah perhatian terhadap tarikh sebenar pembubaran DUN Melaka, yang perlu berlaku sebelum PRN negeri berkenaan diadakan.



