
Program pertemuan bersama mahasiswa India Malaysia yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya berlangsung dengan penuh meriah dan bermakna.
Program tersebut dimulakan dengan pelancaran inisiatif baharu bank komputer riba yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 pelajar India di seluruh negara.
Menurut kerajaan, usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan akses pendidikan digital yang lebih adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat.
Pada majlis sama, bantuan kewangan turut disalurkan kepada 4,165 pelajar daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta menerusi peruntukan keseluruhan berjumlah RM8.347 juta.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan serta Ketua Pengarah MITRA Ravindran Nair atas pelaksanaan pelbagai program pembangunan sosial dan ekonomi untuk masyarakat India di negara ini.
Beliau berkata, semua inisiatif yang dilaksanakan adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkukuh bidang pendidikan, pembangunan kemahiran, keusahawanan dan kebajikan sosial demi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat secara menyeluruh.
Menurut Anwar, bantuan yang diberikan bukan sekadar sokongan kewangan semata-mata, tetapi merupakan satu pelaburan penting negara bagi membuka peluang pendidikan tinggi yang lebih adil dan memastikan tiada anak muda tercicir daripada meneruskan pengajian dalam dunia yang semakin kompetitif.



