
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menerima petanda positif daripada pemimpin Asia Barat bahawa rundingan ke arah satu perjanjian kerangka antara Amerika Syarikat dan Iran kini berada di landasan yang memberangsangkan.
Menurut beliau, perkembangan itu termasuk usaha untuk membuka semula Selat Hormuz yang menjadi laluan penting perdagangan dan tenaga dunia.
“Saya melihat perkembangan ini dengan penuh harapan dan keyakinan,” katanya.
Anwar berkata Malaysia turut mengambil maklum peranan konstruktif yang dimainkan oleh Bahrain, Mesir, Jordan, Oman, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu dalam membantu memudahkan proses rundingan tersebut.
Beliau juga menyambut baik penglibatan peribadi Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam usaha mencari penyelesaian melalui rundingan damai.
“Kami berharap semua pihak dapat memanfaatkan peluang ini dan membawa rundingan ke arah penyelesaian yang berjaya,” katanya.
Malaysia turut menyeru semua pihak supaya memperkukuh gencatan senjata sedia ada, memastikan laluan selamat di Selat Hormuz serta mencapai satu perjanjian inklusif yang mengambil kira kepentingan keselamatan semua negara di rantau itu.
Menurut Anwar, Malaysia bersedia menyokong sebarang usaha yang mampu membawa keamanan dan kestabilan berkekalan di Asia Barat.



