
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, YB Dr Gunaraj George, menyambut baik pelancaran Geran Uyarvu MADANI oleh Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), yang disifatkannya sebagai satu inisiatif penting dalam memperkukuhkan kedudukan ekonomi masyarakat India di negara ini.
Menurut beliau, program yang menyasarkan 700 usahawan India di seluruh negara itu bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan keusahawanan yang lebih mampan dan berdaya saing.
Dr Gunaraj berkata, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan MADANI terus membuktikan komitmennya dalam memperkasa masyarakat India melalui pelbagai inisiatif yang bersifat inklusif dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Geran Uyarvu MADANI bukan sekadar bantuan jangka pendek, tetapi merupakan satu pelaburan jangka panjang yang mampu membantu usahawan India mengembangkan perniagaan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan sumbangan mereka kepada ekonomi negara,” katanya.
Beliau turut memuji usaha Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, serta kepimpinan Ketua Pengarah MITRA, Ravindran Nair, dalam merealisasikan program yang disifatkan mampu membuka lebih banyak peluang kepada usahawan India untuk berkembang.
Di bawah program tersebut, usahawan kategori Micro layak menerima geran sehingga RM20,000, kategori Growth sehingga RM35,000, manakala kategori High yang ingin mengembangkan perniagaan boleh menerima geran sehingga RM50,000.
Sehubungan itu, Dr Gunaraj menggesa usahawan India di seluruh negara supaya merebut peluang yang disediakan melalui Geran Uyarvu MADANI bagi memperkukuhkan perniagaan masing-masing, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi masyarakat India secara keseluruhannya.


