
Nasi lemak yang terkenal sebagai antara makanan ikonik Malaysia kini menjadi perhatian ramai susulan dakwaan sebuah kedai di Johor menjual hidangan tersebut pada harga yang dianggap tinggi.
Seorang wanita meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial selepas memuat naik gambar senarai harga nasi lemak yang dijual di premis berkenaan.
Berdasarkan senarai harga tersebut, Nasi Lemak Biasa dijual pada harga RM4.50, manakala pelanggan yang menambah lauk perlu membayar caj tambahan mengikut pilihan masing-masing. Apa yang paling mencuri perhatian ialah “Nasi Lemak Special” yang dijual pada harga RM25.
Perkongsian itu pantas menjadi tular dan mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.
Sebahagian pengguna berpendapat harga tersebut masih munasabah berdasarkan kos bahan mentah dan pilihan lauk yang disediakan, selain menganggap ia bukan satu isu besar.
Namun, ada juga yang berpandangan pengguna tidak seharusnya menganggap kenaikan harga sebagai sesuatu yang normal kerana ia boleh membuka ruang kepada peniaga untuk terus menaikkan harga makanan pada masa hadapan.



