
Kesediaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf sekiranya kenyataannya berhubung isu kuil telah menyinggung perasaan masyarakat India mencerminkan sifat rendah diri serta kepimpinan yang bertanggungjawab, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, walaupun memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, kesanggupan mengakui kemungkinan kenyataan disalah tafsir dan memohon maaf demi menghormati perasaan rakyat merupakan satu contoh kepimpinan yang matang dan berintegriti.
Menurut Dr Gunaraj, kenyataan Perdana Menteri bahawa “sekiranya masyarakat India terasa hati, saya memohon maaf” membuktikan penghormatan serta keprihatinan beliau terhadap masyarakat India yang sentiasa menjadi sebahagian penting dalam pembangunan negara.
Beliau turut menegaskan bahawa kenyataan Perdana Menteri bahawa tiada sebuah kuil Hindu pun dirobohkan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI merupakan satu fakta yang tidak boleh dinafikan.
Katanya, isu berkaitan rumah ibadat adalah perkara yang sangat sensitif dan tidak sepatutnya dipolitikkan demi kepentingan mana-mana pihak. Sebaliknya, ia perlu ditangani melalui dialog, persefahaman dan saling menghormati antara semua pihak.
“Bukan semua pemimpin berani memohon maaf apabila timbul salah faham. Tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menunjukkan sifat kemanusiaan, keikhlasan dan kematangan beliau sebagai seorang pemimpin. Saya menyambut baik serta merakamkan penghargaan terhadap pendirian beliau,” kata Dr Gunaraj.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Kerajaan MADANI akan terus komited dalam mempertahankan kebebasan beragama, memelihara keharmonian antara kaum serta memastikan hak semua masyarakat, termasuk masyarakat India, terus dihormati dan dipelihara.



