
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, YB Dr Gunaraj George, menyambut baik dan merakamkan penghargaan atas penyaluran RM6.7 juta menerusi MITRA bagi memperkukuh pendidikan, keusahawanan dan pembangunan sosial masyarakat India di negara ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, pihak MITRA serta Kerajaan MADANI atas usaha berterusan dalam memastikan masyarakat India mendapat manfaat melalui program pembangunan yang lebih menyeluruh.
Menurut Dr Gunaraj, peruntukan sebanyak RM2.63 juta bagi Program Tuisyen MADANI 2026, yang bakal memberi manfaat kepada 2,343 pelajar SPM dan STPM menerusi 28 pusat tuisyen di tujuh negeri, merupakan satu langkah yang amat dialu-alukan.
Katanya, usaha tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar, malah dapat mengurangkan jurang pendidikan serta meringankan beban kewangan keluarga.
Dalam masa sama, beliau turut menyambut baik pemberian geran RM3.05 juta kepada 128 usahawan India menerusi Program Uyarvu MADANI 2026.
Menurutnya, bantuan tersebut mampu membantu usahawan meningkatkan keupayaan operasi, memperkukuh daya saing serta memperluaskan pasaran perniagaan mereka.
Dr Gunaraj juga memuji penyaluran RM1.04 juta kepada 52 kuil Hindu menerusi Siri 4 Program Dharma MADANI. Sehingga kini, kerajaan telah meluluskan sejumlah RM13.52 juta kepada 676 rumah ibadat Hindu di seluruh negara menerusi program berkenaan.
тАЬPendidikan adalah pelaburan untuk masa depan generasi kita. Keusahawanan pula merupakan asas untuk meningkatkan kedudukan ekonomi keluarga, manakala kuil bukan sahaja menjadi pusat keagamaan dan kebudayaan, tetapi turut memainkan peranan penting sebagai pusat komuniti. Usaha MITRA memperkukuh ketiga-tiga aspek ini secara serentak amat wajar dipuji,тАЭ katanya.
Dr Gunaraj turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Datuk Seri R. Ramanan atas komitmen mereka terhadap pembangunan masyarakat India.
Beliau pada masa sama menegaskan bahawa setiap peruntukan dan program yang diperkenalkan perlu dipastikan sampai secara langsung kepada golongan yang benar-benar layak dan memerlukan.
Dr Gunaraj berharap lebih banyak inisiatif seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan bagi memperkukuh pendidikan, ekonomi, keusahawanan serta pembangunan sosial masyarakat India di Malaysia.



