
Parti Wawasan Negara (Wawasan) diminta supaya tidak mendahului keputusan Perikatan Nasional (PN) berhubung pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya menghormati kepimpinan serta proses rundingan gabungan itu.
Ahli Jawatankuasa Politik PAS Melaka yang juga Yang Dipertua PAS Jasin, Kamarudin Sidek, berkata setakat ini belum ada sebarang rundingan rasmi mengenai pembahagian kerusi antara PN dan Barisan Nasional (BN).
“Wawasan tidak perlu mendahului keadaan dan membuat keputusan terlebih dahulu. Serahkan kepada kepimpinan PN untuk membuat keputusan. Malah, pembahagian kerusi pun belum dibincangkan, jadi sudah tentu belum ada sebarang keputusan mengenainya,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Kamarudin mengulas kenyataan Naib Presiden Wawasan, Rahim Thamby Chik, yang berkata PN akan bertanding di semua kerusi DUN Melaka sekiranya gagal mencapai persetujuan dengan BN.
Rahim, yang juga Ketua Wawasan Melaka, berkata partinya mahu bertanding di DUN Bemban dan Sungai Udang, sama ada PN mencapai kerjasama dengan BN atau sebaliknya.
Kedua-dua kerusi tersebut sebelum ini dimenangi Bersatu, yang masih menjadi komponen PN tetapi kini berdepan perselisihan dengan PAS selaku parti yang mempengerusikan gabungan berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, semalam meminta parti-parti yang berminat untuk menjalin kerjasama bagi PRN Melaka supaya bersabar, ketika PN dan Pakatan Harapan (PH) terus mendesak BN membuat keputusan mengenai kerjasama pilihan raya.
Pengarah Pilihan Raya PH, Amirudin Shari, turut menggesa BN menjelaskan sama ada gabungan itu berminat untuk menjalinkan kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka.



