
Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Parlimen Pandan mesti terus kekal sebagai kubu kuat PKR.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, satu pertemuan penting telah berlangsung antara Anwar dan kepimpinan PKR Pandan ketika Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 di Johor Bahru baru-baru ini.
“Sebelum berangkat pulang selepas konvensyen, saya mengatur pertemuan antara Perdana Menteri dan kepimpinan PKR Pandan. Dalam pertemuan itu, pemimpin Pandan menyatakan komitmen serta kesetiaan penuh mereka kepada parti,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau turut mendedahkan bahawa Anwar memberi peringatan tegas agar perpaduan dalam parti terus dipelihara.
“Jangan pecahkan perpaduan. Pandan mesti terus kekal milik PKR,” katanya memetik kenyataan Perdana Menteri.
Dalam perkembangan berkaitan, suasana politik semakin hangat selepas Ahli Parlimen Pandan merangkap bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan pengundurannya daripada parti pada Ahad lalu, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam arena politik negara.



