
Jabatan Imigresen Malaysia akan mula mengeluarkan pasport baharu Malaysia yang dilengkapi 94 ciri keselamatan bermula 1 Jun ini, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban.
Menurut beliau, langkah itu bertujuan memperkukuhkan lagi keselamatan dokumen pengenalan negara serta mengurangkan risiko pemalsuan pasport.
Pada peringkat awal, pasport baharu tersebut akan dikeluarkan di empat lokasi iaitu Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Pejabat Pasport Kuala Lumpur di Jalan Duta, UTC Wangsa Maju dan Pejabat Imigresen Shah Alam.
Zakaria berkata, pelaksanaan pasport baharu itu akan dibuat secara berperingkat sebelum diperluaskan ke seluruh negara menjelang Julai nanti.
“Sebelum ini pasport kita mempunyai 49 ciri keselamatan, namun versi baharu ini hampir menggandakan jumlah itu kepada 94 ciri keselamatan,” katanya.
Beliau menjelaskan antara penambahbaikan yang diperkenalkan termasuk hologram lebih canggih, cetakan ultraviolet (UV), elemen visual tersembunyi dan pelbagai ciri forensik khas.
“Malah benang yang digunakan untuk mengikat buku pasport juga mempunyai elemen keselamatan tersendiri dan setiap halaman direka dengan corak yang berbeza,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen 2025 yang disempurnakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Dalam pada itu, Zakaria menegaskan bahawa pasport sedia ada masih sah digunakan selagi tempoh sah laku belum tamat.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak tergesa-gesa menukar pasport semata-mata kerana pengenalan ciri baharu tersebut.



