
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekali lagi menegaskan komitmen mereka untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran semasa.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan terhadap kesetiaan dan komitmen yang terus ditunjukkan oleh parti-parti komponen kerajaan MADANI.
“Parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan sekali lagi memberi jaminan untuk terus mempertahankan kestabilan kerajaan dan berdiri teguh bersama kerajaan sehingga tamat penggal pentadbiran ini,” katanya dalam sidang media mingguan.
Menurut Fahmi, sokongan itu bukan sekadar bersifat politik semata-mata, tetapi membawa mesej penting mengenai usaha bersama dalam menjaga kebajikan rakyat dan masa depan negara.
Beliau turut menjelaskan bahawa perpaduan politik ketika ini menjadi kekuatan tambahan kepada kerajaan dalam menghadapi cabaran ekonomi global dan ketegangan yang berlaku di Asia Barat.
Dalam pada itu, Fahmi turut menafikan dakwaan berhubung sebarang perbincangan mengenai peletakan jawatan menteri dalam mesyuarat kabinet yang berlangsung.



