
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini mempertingkatkan langkah pemantauan susulan penularan wabak Ebola di beberapa negara Afrika.
Menurut kementerian, wabak Ebola kini dilaporkan merebak di Republik Demokratik Congo dan Uganda, sehingga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkannya sebagai kecemasan kesihatan awam antarabangsa.
Walaupun Malaysia belum merekodkan sebarang kes Ebola setakat ini, KKM memaklumkan bahawa langkah kesiapsiagaan dan pemantauan terus diperkukuhkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kami akan terus memperkukuh tahap kesiapsiagaan dan pemantauan untuk menghadapi apa jua situasi,” menurut kenyataan kementerian.
KKM turut memaklumkan bahawa pemantauan sedang dijalankan terhadap pelancong yang tiba dari Uganda dan Congo.
Ia termasuk individu yang transit melalui lapangan terbang antarabangsa seperti Singapura, Dubai dan Doha sebelum memasuki Malaysia.
Kementerian berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan global berkaitan wabak tersebut dan memastikan langkah pencegahan dilaksanakan secara berterusan demi keselamatan rakyat.



