
FIFA mengesahkan bahawa Iran telah memindahkan kem latihan rasmi Piala Dunia 2026 dari Amerika Syarikat ke Mexico susulan kebimbangan keselamatan dan konflik yang sedang berlaku di Asia Barat.
Sebelum ini, Iran memilih sebuah kompleks sukan di Tucson, Arizona sebagai ibu pejabat sementara pasukan kebangsaan mereka sepanjang kejohanan Piala Dunia.
Namun, Iran memohon perubahan lokasi selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran bermula akhir Februari lalu.
Dalam senarai rasmi kem latihan pasukan yang dikeluarkan Fifa semalam, Iran kini akan menggunakan Centro Xoloitzcuintle di Tijuana, Mexico sebagai kem rasmi mereka.
Bagaimanapun, lokasi perlawanan peringkat kumpulan Iran masih kekal seperti dijadualkan.
Sebagai pasukan dalam Kumpulan G, Iran akan menentang New Zealand pada 15 Jun dan Belgium pada 21 Jun di Los Angeles, sebelum bertemu Mesir di Seattle pada 26 Jun.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj berkata, lokasi Tijuana yang berhampiran sempadan Amerika Syarikat-Mexico akan membantu memudahkan urusan visa apabila pasukan perlu memasuki AS.
“Kami mengadakan beberapa pertemuan dengan Fifa dan pegawai Piala Dunia di Istanbul serta sesi webinar bersama setiausaha agung Fifa di Tehran. Hasilnya, permohonan untuk memindahkan kem pasukan dari Amerika Syarikat ke Mexico telah diluluskan,” katanya.
Pegawai Iran turut memaklumkan bahawa pemain dan pegawai pasukan mereka masih belum menerima visa Amerika Syarikat setakat ini.
Piala Dunia 2026 yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico akan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai.



