
ADUN Sentosa, Dr Gunaraj menafikan dakwaan bahawa seorang pelajar yang memperoleh keputusan 11A dalam peperiksaan SPM gagal mendapat tempat dalam program Matrikulasi.
Menurut beliau, pelajar berkenaan sebenarnya telah ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian di Kolej Matrikulasi Selangor selain turut menerima tawaran biasiswa pendidikan daripada Petronas.
“Saya mengambil maklum mengenai video TikTok yang tular mendakwa seorang pelajar cemerlang dengan keputusan 11A tidak diberikan peluang melanjutkan pengajian di institusi kerajaan.
“Hasil semakan mendapati pelajar tersebut sebenarnya telah menerima tawaran ke Kolej Matrikulasi Selangor dan turut berjaya memperoleh biasiswa Petronas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, satu video yang dimuat naik oleh Kaniyamuthan menarik perhatian ramai apabila beliau mendakwa anaknya, Thenmalar, tidak mendapat tempat dalam program matrikulasi walaupun memperoleh keputusan 11A dalam SPM.
Sebaliknya, beliau mendakwa anaknya hanya ditawarkan tempat di politeknik.
Dalam video yang sama, beliau turut menjelaskan bahawa berlaku kelewatan dalam permohonan anaknya disebabkan beberapa isu berkaitan pengisian borang dan dokumen.
Dr Gunaraj menegaskan bahawa orang ramai perlu mendapatkan maklumat yang tepat dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum menyebarkan sesuatu perkara yang boleh mengelirukan masyarakat.



