
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George, turun padang membantu kempen calon Pakatan Harapan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah, Datuk Yee Boon Lee, sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Dalam lawatan tersebut, Dr Gunaraj bukan sahaja bertemu dengan para pengundi, malah turut meninjau gerak kerja jentera pilihan raya di kawasan berkenaan serta memberikan pandangan dan strategi bagi memperkukuhkan usaha meraih kemenangan pada hari pengundian.
Beliau yakin Pakatan Harapan akan terus mendapat mandat daripada rakyat dan berjaya mempertahankan pentadbiran Negeri Sembilan pada pilihan raya kali ini.
Menurut Dr Gunaraj, Pakatan Harapan merupakan gabungan yang sentiasa memperjuangkan kepentingan semua kaum dan agama tanpa mengira latar belakang, justeru beliau menyeru rakyat supaya terus memberikan sokongan kepada gabungan tersebut.
“Jika kita mahu melihat pembangunan Negeri Sembilan diteruskan dan kebajikan rakyat terus dipelihara, marilah kita bersama-sama memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan,” katanya.
Beliau turut menggesa semua jentera pilihan raya agar terus bekerja keras dan memperhebatkan usaha mendekati pengundi bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan di DUN Chuah serta di seluruh Negeri Sembilan.


