
Sejak 2018, tiada amalan jemputan rasmi secara automatik kepada bekas Perdana Menteri untuk menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan, jelas Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 berkata demikian bagi menjelaskan persoalan berhubung kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya.
Menurut beliau, pengurusan jemputan bagi Sambutan Hari Kebangsaan dilaksanakan berdasarkan prosedur yang ditetapkan, susulan pengesahan daripada bahagian di bawah Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan istiadat serta persidangan antarabangsa bagi acara rasmi utama Kerajaan Persekutuan.
Beliau menjelaskan bahawa sejak 2018, bekas Perdana Menteri tidak menerima jemputan secara automatik untuk menghadiri sambutan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, tiada mana-mana bekas pemimpin dihalang daripada hadir ke Sambutan Hari Kebangsaan.
Sekiranya jemputan rasmi diperlukan, perkara itu boleh diuruskan menerusi permohonan daripada pihak berkaitan mengikut prosedur dan tatacara pengurusan yang telah ditetapkan, jelas beliau dalam satu kenyataan.



