
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Negara pada Ahad (17 Mei).
Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Istana Negara, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar turut hadir dalam pertemuan tersebut.
Pertemuan itu berlangsung sehari selepas Anwar memberi amaran bahawa pilihan raya umum mengejut mungkin diadakan sekiranya perpecahan dalam Kerajaan Perpaduan terus meningkat.
Sebelum ini, Perdana Menteri berkata pilihan raya boleh melibatkan bukan sahaja Johor, malah berpotensi diperluaskan ke Negeri Sembilan, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang jika persefahaman dalam gabungan tidak lagi dihormati.
Anwar turut memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan perbincangan lanjut bersama kepimpinan Pakatan Harapan berhubung perkara tersebut.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa kestabilan politik amat penting bagi memastikan pentadbiran kerajaan berjalan dengan cekap dan berkesan.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan yang berlangsung di Johor Bahru pada Sabtu (16 Mei) lalu.



