
Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan bahawa sehingga kini masih belum menerima sebarang perkembangan rasmi mengenai peserta Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang ditahan oleh tentera Israel pada Isnin dan Selasa lalu.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim berkata, hampir 48 jam selepas aktivis kemanusiaan itu ditahan, masih tiada sebarang maklumat mengenai keadaan mereka.
“Kami masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai keadaan mereka. Ada kemungkinan mereka turut berdepan serangan atau tindakan lain,” katanya.
“Jika selepas 48 jam mereka tiba di Pelabuhan Ashdod masih tiada pengesahan rasmi, ini merupakan satu insiden serius yang perlu diberi perhatian,” ujarnya pada sidang media mengenai misi GSF 2.0 hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa misi tersebut telah memasuki fasa akhir selepas 54 kapal berlepas dari Pelabuhan Marmaris di Turki menuju ke Gaza.
SNCC turut memaklumkan bahawa sempadan zon merah dan kuning telah dikemas kini berdasarkan penilaian risiko keselamatan terkini di kawasan operasi.
“Seperti yang diamalkan tahun lalu, peserta telah diarahkan mengalihkan telefon bimbit mereka pada saat-saat kritikal bagi mengelakkan rampasan oleh pihak tertentu. Sebaik sahaja mereka ditahan, semua komunikasi dengan wakil Malaysia dan antarabangsa terputus sepenuhnya,” katanya lagi.



